6 Kelebihan Hari 'Arafah



Hari 'Arafah yang jatuh pada tanggal 9 Zulhijjah merupakan hari penting bagi umat Islam. Sama ada yang mengerjakan haji atau tidak, hari 'Arafah merupakan hari yang besar maknanya. Antara kelebihan-kelebihan hari 'Arafah adalah :

1. Haji adalah 'Arafah

Ia adalah sebahagian besar daripada haji. Tanpa hari Arafah tidak sempurnalah Haji.

Daripada Abdul Rahman bin Ya’mar, bahawa Nabi - sallalLahu ‘alayhi wa sallam - bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]


2. Hari penyaksian terhadap Allah

Dalam satu hadith, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” [Riwayat Ahmad]

3. Telah sempurna agama Islam kita pada hari Arafah.

Firman Allah:

اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

Maksudnya: “..Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” [Al-Maa’idah: Ayat 3]


4. Hari mustajab doa

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi - sallalLahu ‘alayhi wa sallam - bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]

5. Diampunkan dosa

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah - sallalLahu ‘alayhi wa sallam - bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

6. Hari Arafah adalah hari keampunan.

Daripada Aisyah, bahawa Nabi - sallalLahu ‘alayhi wa sallam -  bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]

Marilah kita bersama-sama mengambil peluang keemasan ini untuk meraih redha Allah dengan berpuasa (bagi yang tidak mengerjakan ibadah haji), dan berdoa sebanyak-banyaknya pada hari 'Arafah. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang diberi keampunan oleh Allah dan diberikan ganjaran syurga.


Comments

Popular posts from this blog

4 Jenis 'Parenting Styles' dan Kesannya Kepada Anak

6 Kemahiran Asas Yang Perlu Anak Anda Tahu Sebelum Masuk Tadika

Tips Merawat Chicken Pox di Rumah Supaya Cepat Sembuh